Yana (kiri) bersama dua pelakon filem Histeria, Ainul Aishah (tengah) dan Scha
FILEM arus perdana pertama arahan James Lee, Histeria, sememangnya memberikan impak yang cukup besar buat salah seorang pelakon muda yang membintangi filem seram terbitan Tayangan Unggul itu, iaitu Norliana Samsudin atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Yana.
Bukan saja kali pertama diberi peluang memegang antara watak penting di dalam filem, malah adegan 'berani mati' yang membabitkan wataknya bersama seorang lagi pelakon filem tersebut, Scha juga membuatkan Yana resah menantikan reaksi penonton kelak.
Babak ciuman gadis lesbian bernama Zeta yang dilakonkan oleh Yana dengan karektor Alissa lakonan Scha itu dijangka akan 'memanaskan' panggung apabila filem ini mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 18 Disember depan.
Apa yang pasti, babak itu telah pun diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan lantaran itu, kata Yana, dia yakin adegan tersebut tidak perlu dijadikan satu isu apatah lagi LPF sendiri yang meluluskannya.
Cuma kebimbangan itu tetap lahir dalam diri pelakon dan pengarah muda berusia 24 tahun ini kerana risau dengan tanggapan penonton kelak yang mungkin akan mengaitkan dirinya turut mengamalkan gaya hidup songsang itu.
"Sebenarnya ketika ujibakat dulu, saya cuba untuk karektor bernama Kerek yang akhirnya dilakonkan oleh Norisnainy. Tetapi James Lee minta saya untuk turut mencuba watak Zeta dan tidak sangka pula karektor itu yang ditawarkan pada saya.
"Saya amat seronok dengan tawaran tersebut kerana ia lain dari yang lain. Dan menerusi skripnya, saya sedar Zeta adalah seorang lesbian. Tetapi di dalam skrip tersebut hanya menyebut ada adegan saya berpegangan tangan dengan Alisa, bukan ciuman.
"Babak bercium itu sebenarnya diwujudkan secara spontan ketika di lokasi. Tetapi saya harap penonton tidak mengaitkan watak itu dengan diri saya yang sebenar.
"Apa yang saya lakukan dalam filem itu hanya kerana untuk melengkapkan jalan cerita. Saya sanggup buat pun kerana merasakan ia relevan dengan perjalanan cerita itu," kata Yana tentang karektor 'panas' itu.
Menurut pengarah filem Selamat Pagi Cinta ini, pada awalnya dia dan Scha sangat kekok kerana menyangkakan itu hanya gurauan daripada pengarah.
"Tetapi nasib baik Scha juga 'sporting' dan adegan itu berjaya diselesaikan dalam dua 'take' saja. Apapun, babak itu bukannya dalam aksi ciuman yang mengghairahkan.
"Sebenarnya, kami hanya 'bersentuh' bibir...bukan benar-benar bercium dan babak itu pun hanya beberapa saat. Tetapi, apa yang boleh saya katakan, watak Zeta ini memang benar-benar mencabar emosi saya," tutur penuntut jurusan perfileman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Histeria adalah sebuah kisah seram yang berlaku di salah sebuah kolej swasta. Tujuh orang pelajar nakal iaitu Alissa, Tini, Malini, Murni, Maryam, Jenny dan Kerek yang menamakan kumpulan mereka sebagai ‘Pink Flamingo’, berpura-pura terkena histeria, hingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka.
Namun tindakan mereka itu mengundang masalah lain apabila mereka dikenakan denda, membersihkan kawasan kolej selama seminggu ketika cuti semester. Mereka ditempatkan di satu dorm yang kelihatan menyeramkan.
Seorang pelajar baru, Zeta juga menyertai mereka. Sebelum Zeta diterima menjadi ahli Pink Flamingo, beliau perlu diuji, iaitu bermalam di sebuah makmal berhantu di mana tujuh pelajar ini turut cuba menakut-nakutkan Zeta.
Namun kejadian menakutkan benar-benar berlaku apabila pelbagai perkara misteri dialami oleh mereka semua. Keadaan bertambah celaru dan mengerikan apabila seorang demi seorang daripada mereka dibunuh kejam oleh satu lembaga yang berkeliaran di kawasan kolej tersebut.
Ada yang mati ditusuk gunting, ada pula digantung di tiang bendera, dicekik leher dan sebagainya. Dan yang terselamat hanyalah Murni namun dia dituduh menjadi pembunuh kepada mereka.
Selain Yana dan Scha, turut membintangi filem ini ialah Liyana Jasmay, Ainul Aishah, Norisnainy, Talya serta kemunculan istimewa pelakon-pelakon hebat seperti Vanidah Imran, Adlin Aman Ramlie, Adman Salleh, M.Rajoli, Namron dan Kaza.
Bercerita tentang perkembangan karier seninya ketika ini, kata Yana, selain terbabit dengan siri promosi filem Histeria, dia juga berkemungkinan akan kembali mengarah filem keduanya selepas Selamat PagiCinta, awal tahun depan.
"Insya-Allah, David Teo ada tawarkan saya untuk mengarah sebuah filem baru. Buat masa ini masih lagi di dalam perbincangan, jadi saya tidak mahu dedahkan dengan lanjut tentang projek ini.
"Saya juga masih lagi ingin lihat respon ramai terhadap filem sulung saya yang kini masih lagi ditayangkan di pawagam.
"Saya kurang pasti berapa jumlah kutipannya setakat ini, tetapi sewaktu empat hari ditayangkan di awal dulu, ia telah mengutip sebanyak RM500,000. Bagi saya, jumlah itu sudah cukup baik untuk permulaan," kata Yana yang akui semakin serasi dengan bidang pengarahan dan lakonan yang diceburinya.
Selamat Pagi Cinta telah dibintangi oleh bekas kekasihnya, Pierre Andre, Fazura, Sharifah Amani dan Que Haidar.
|
---|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment